BINTULU: Tiga lelaki berumur 28 hingga 41 tahun dipercayai suspek utama kegiatan curi motosikal sejak tiga bulan lepas berjaya diberkas polis pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, suspek warga tempatan dan dua warga asing itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di lokasi berasingan dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 1 pagi.
"Hasil pemeriksaan serta soal siasat yang dijalankan pasukan polis ke atas suspek telah berjaya menjumpai semula lapan unit motosikal pelbagai jenis yang kesemuanya dipercayai motosikal curi," ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Penangkapan ketiga-tiga suspek ujarmya, berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian motosikal yang dilaporkan berlaku di bahagian ini sejak awal tahun ini.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek jelasnya, mendapati dua daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Kesemua suspek katanya, masih dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
