Dua orang mangsa terselamat akibat dari kereta terbabas dan terbakar di lebuh raya PLUS
TAPAH: Dua orang mangsa didapati terselamat setelah sebuah kereta jenis Mercedes yang dinaiki mereka dipercayai telah merempuh belakang sebuah lori lalu terbakar di kilometer 325.2 Lebuhraya Utata Selatan (PLUS) arah utara, di sini hari ini (23 Januari 2024).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kereta Mercedes berkenaan musnah terbakar merintangi jalan di lebuh raya itu.
"Bomba telah menerima panggilan dari orang awam pada jam 4.21 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke lokasi.
"Mengikut maklumat dari saksi yang berada di lokasi, kereta tersebut dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah lori lalu terbabas,"
Jelasnya lagi, pasukan BOMBA kemudiannya membuat kerja pemadaman menggunakan satu hose reel sehingga api padam sepenuhnya.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahman Ibrahim itu tamat jam 4.46 petang.