Menerusi kempen Kasih Ramadan ini turut diadakan aktiviti pengedaran 300 Pek Ramadan ‘on-the-go’ kepada pengguna jalan raya daripada Yayasan Ikhlas. Tahun ini merupakan tahun ke 10 Kempen Kasih Ramadan telah berlangsung dimana Yayasan Ikhlas mengagihkan pelbagai jenis bantuan seperti Pek Ramadan yang mengandungi barang keperluan dan makanan asas, pek sahur serta kelengkapan raya. Yayasan Ikhlas menyasarkan 25,000 penerima manfaat disantuni melalui kempen Kasih Ramadan ini.
Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya ini adalah salah satu usaha kolaboratif Yayasan Ikhlas bersama ANIH Berhad pengendali Lebuhraya Pantai Timur 1 dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang sama-sama berusaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya. Kami ingin menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan kepada inisiatif ini.
"Di bulan Ramadan yang penuh berkat ini, marilah kita mengukuhkan rasa kasih sayang, peduli dan bertanggung jawab terhadap satu sama lain dengan memastikan keselamatan perjalanan kita bersama," kata En Bilal Jailani, Pengurus Besar Yayasan Ikhlas. "Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya adalah langkah kecil tetapi bermakna dalam menyumbang kepada masyarakat yang lebih selamat dan harmoni. Dalam semangat Kempen Kasih Ramadan dengan tema 'Beri Seadanya, Berkongsi Seikhlasnya', kami berharap agar setiap langkah kecil ini dapat memberikan manfaat sebesar-besarnya kepada masyarakat."
Kami mengajak semua pihak untuk turut serta dalam kempen ini dengan mengamalkan tindakan yang menyelamatkan nyawa semasa memandu dan menyebarkan kesedaran kepada orang lain. Bersama-sama, kita mampu menjadikan perjalanan pulang ke kampung halaman lebih selamat dan membahagiakan semua. Turut serta dalam kempen ini, En Bilal bin Jailani, Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, berganding bahu bersama wakil dari ANIH Berhad serta MIROS untuk bersama menyokong usaha ini.