Seiring dengan hasrat YAB Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dan YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memartabatkan dan memperkasakan pekerja Industri Gig di Malaysia, termasuk Industri Gig Sektor E-Hailing dan Sektor P-Hailing, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia bersama rakan-rakan kerjasama NGO dan Komuniti Rakan Pemandu E-Hailing dan Rakan Penghantar P-Hailing mengucapkan jutaan Terima Kasih dan setinggi penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas inisiatif dan usaha dalam merangka Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan dibentangkan di Parlimen pada Disember 2024.
Objektif utama Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig ini adalah bagi memberi pembelaan dan perlindungan kepada pekerja-pekerja Gig di Malaysia, termasuk kepada Rakan-Rakan Pemandu E-Hailing dan Rakan-Rakan Penghantar P-Hailing.
Walaubagaimanapun, sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig ini dibentangkan, kami memohon supaya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), wakil NGO dan Komuniti Rakan-Rakan Pemandu E-Hailing dan Rakan-Rakan Penghantar P-Hailing diberi rangka penuh RUU Pekerja Gig, dan juga penerangan lanjut dari KESUMA berkaitan mekanisma dan kaedah pelaksanaan setiap kerangka utama yang akan diwujudkan kelak.
Perkara ini adalah penting kerana sebagai salah satu pemegang taruh yang terlibat didalam sektor ini, kami berharap Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan dibentangkan ini adalah benar-benar memberi impak positif kepada industri, dan dapat menyelesaikan Isu serta Permasalahan Rakan-Rakan Pemandu E-Hailing dan Rakan-Rakan Penghantar P-Hailing.
Oleh yang demikian, kami mencadangkan kepada KESUMA agar dianjurkan Sidang Meja Bulat bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), wakil NGO dan Komuniti serta wakil Rakan-Rakan Pemandu E-Hailing dan Rakan-Rakan Penghantar P-Hailing. Sidang Meja Bulat ini adalah bagi kami menjadi entiti semak dan imbang serta dapat mengharmonikan lagi setiap kerangka dasar dan perundangan yang akan dilaksanakan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig ini diluluskan.
Adalah menjadi harapan besar Rakan-Rakan Pemandu E-Hailing dan Rakan-Rakan Penghantar P-Hailing dengan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig ini akan menjadi titik permulaan kepada agenda Kerajaan Perpaduan untuk membela kebajikan kami semua.
Sekian, terima kasih.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia
13hb November 2024