Remaja perempuan maut selepas terjatuh dari motosikal lalu digilis sebuah bas di Jalan Kemajuan di sini malam tadi.
Dalam nahas 8.20 malam itu, mangsa Nur Damia Umairah Amir Aswadi, 18, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha NVX dari arah bandar ini menghala ke rumahnya di Manir manakala bas dipandu lelaki berusia 70 tahun itu pula menghala pulang ke Kuala Berang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berada di lorong kiri dikatakan memasuki laluan bas yang sedang bergerak terus di lorong tengah.
Katanya, susulan kejadian itu, mangsa terjatuh di laluan bas sebelum digilis dari tayar belakang.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi.
![Remaja Maut](https://www.ehailing.fm/blog/wp-content/uploads/2025/02/Remaja-Maut-1024x768.jpg)