Polis mencari individu yang merakam detik ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin berjalan sambil memimpin tangan dua anaknya yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pada peringkat ini, fokus polis adalah mencari sumber asal rakaman video terbabit, lapor Berita Harian.
“Seterusnya, siasatan lanjut akan dijalankan sama ada rakaman video berkenaan mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Zayn Rayyan,” katanya.
Terdahulu, beliau mengesahkan polis menerima laporan dan sudah merakam keterangan Ismanira mengenai video tular itu.
Semalam, media melaporkan polis menerima laporan daripada Ismanira Abdul Manaf berhubung rakaman video menunjukkan dia sedang berjalan sambil memegang tangan dua anaknya termasuk Zayn Rayyan menuju kawasan parkir motosikal di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat Petaling Jaya.
Pada 5 Disember 2023, Zayn Rayyan yang ketika itu berusia enam tahun dan juga seorang kanak-kanak autisme, dilaporkan hilang di kawasan kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Selepas hampir dua hari, mayatnya ditemui di anak sungai berhampiran apartmen kediamannya.
Siasatan polis mengesahkan Zayn Rayyan dibunuh selepas bedah siasat dapati ada kecederaan pada tubuh badan mangsa.
