Banjir: Lelaki, anjing maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Shah Alam
SHAH ALAM: Seorang lelaki ditemui maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian banjir di sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25 di sini, hari ini.
Ketua Polis Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan kejadian membabitkan warga Sri Lanka berusia 27 tahun itu pada jam 10.51 pagi.
"Siasatan awal mendapati premis itu turut dijadikan tempat tinggal mangsa. Turut dijumpai adalah seekor anjing yang turut mati dipercayai terkena renjatan elektrik di sisi mangsa.
"Polis terpaksa menunggu petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) memutuskan talian elektrik di kawasan itu sebelum anggota dapat menghampiri mayat mangsa dan membuat pemeriksaan.
"Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan. Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372.

