'Tak sangka ramai yang masih ingat' - Abang 'nyamuk'
Ampang: "Saya tak sangka ramai yang masih ingat saya dan tegur bila terserempak di luar walaupun iklan itu sudah berusia lebih 20 tahun lalu," kata atlet bina badan, Syed Fazli Syed Ali, 54, ketika berkongsi kisahnya yang mengakui mendapat perhatian sehingga ke hari ini.
Ia adalah impak daripada pembabitannya sebagai model iklan dan duta satu jenama penyembur nyamuk.
Menurut Syed Fazli, gelaran 'abang nyamuk' juga seperti sudah melekat dengannya kerana rata-rata yang menemuinya di luar akan memanggilnya dengan nama itu.
Berkongsi kisahnya, Syed Fazli yang berasal dari Kluang, Johor mengakui terharu dengan sokongan diberi malah tidak sangka dirinya masih dikenali dan diingati hingga ke hari ini terutama dalam kalangan mereka yang membesar pada era awal 2000.
"Penggambaran iklan itu (iklan penyembur nyamuk) dijalankan pada 2003 dan disiarkan di televisyen tahun berikutnya (2004).
"Selain ditawarkan menjadi model iklan, saya juga dilantik sebagai duta dan pada awalnya selama setahun dan kontraknya disambung lagi sampai sekarang.
"Pernah juga saya persoalkan kenapa tak ambil orang lain dan saya pernah jadi pencarian wajah baru tapi syarikat tak jumpa yang sesuai serta menepati kriteria diinginkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Syed Fazli, peluang menjadi duta produk itu juga melayakkannya menerima pengiktirafan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) kira-kira dua tahun lalu.
"Saya dapat penghargaan itu selepas menjadi duta jenama paling lama di negara ini iaitu selama 20 tahun.
"Tak berharap pun sebenarnya memandangkan waktu pergi uji bakat sebagai model dulu pun sekadar cuba-cuba selepas diajak seorang rakan.
"Saya bersyukur dan anggap ia sebagai rezeki kerana sampai sekarang kalau pergi pusat beli belah, ada saja yang tepuk bahu, tegur serta ajak bergambar malah ada dalam kalangan mereka (peminat) sudah pun berkahwin," katanya.
Syed Fazli berkata, dia juga ada berkongsi perkembangan di TikTok terutama berkaitan rutin kecergasan di TikTok.
"Di situ pun ramai komen dan kata masih ingat iklan ditonton dulu, ada baca juga komen ramai kata saya idola mereka.
"Terima kasih saya ucapkan dan harap mereka ikut daripada segi cara mengekalkan bentuk badan serta menjaga kesihatan.
"Ia kerana zaman sekarang banyak penyakit jadi saya harap dan nak didik orang ramai pentingnya menjaga kesihatan," katanya.
Berhubung penyertaan dalam kejohanan, Syed Fazli tiada perancangan ke arah itu dalam waktu terdekat.
"Ikutkan saya pernah menyertai lebih 30 kejohanan bina badan di dalam dan luar negara dengan lapan rekod kejuaraan.
"Jadi dalam usia begini, saya sudah tak ada apa nak dikejar…tapi masih aktif bersenam kerana buat rutin kecergasan empat kali dalam seminggu selain terima undangan kongsi tip kecergasan.
"Bab pemakanan pula macam biasa, jaga 40 peratus cuma tak makan nasi dan elak makanan berminyak," katanya yang tidak menolak kemungkinan berlakon jika mendapat tawaran bersesuaian.
