"Anak saya dibedung, disumbat botol susu, ditutup dengan kain dan ditekup dengan bantal."
Itu pendedahan bapa kepada bayi berusia lapan bulan yang maut ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah pagi Jumaat.
Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, berkata, dia yang ketika itu sedang bertugas di Kem Perdana Sungai Besi dihubungi oleh isterinya kira-kira pukul 9 pagi memaklumkan menerima panggilan daripada pihak taska bahawa anak tunggalnya tidak sedarkan diri.
Katanya, apabila isterinya Sabrina hakiem Zaini, 39, sampai di taska berkenaan, dia mendapati wajah anaknya Muhammad Al Fateh Amri sudah kebiruan selain bahagian mulutnya juga berdarah.