Pengarah sebuah syarikat jam Islamik terkenal didenda RM13,500 oleh dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki 703 jam azan bernilai RM222,000 tanpa diperakui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri (KDN), tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Basri Ibrahim, 34, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock dan Nur Hafizah Rajuni.
Prosiding di hadapan Chai, lelaki itu dikenakan denda RM6,500 dan dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu manakala Nur Hafizah memerintahkan penjara tujuh bulan sekiranya dia gagal membayar denda RM7,000.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohamad Basri didakwa memiliki 219 Bilal Jam Azan jenis Mecca Edition, 271 unit Bilal Jam Azan jenis Medina Edition dan 213 unit Bilal Jam Azan jenis Aqsa Edition yang tiada perakuan kelulusan oleh LPPPQ KDN.