'REMAJA 16 TAHUN YANG DICULIK DIMASUKKAN DALAM BEG PAKAIAN, ELAK DIKESAN PIHAK BERKUASA' - PENGARAH JSJ
Kuala Lumpur, 15 April 2025 – Penjenayah yang terbabit kes penculikan remaja perempuan berusia 16 tahun di Uptown Avenue, Seremban 2, Negeri Sembilan, pada Khamis lalu, dikesan menyembunyikan mangsa dengan memasukkannya dalam sebuah beg pakaian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan itu dipercayai bertujuan mengelak dikesan pihak berkuasa dan orang awam ketika memindahkan mangsa daripada kenderaan milik suspek ke sebuah rumah di tempat mangsa disorokkan.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati penculikan didalangi seorang suspek wanita berusia 31 tahun yang ditahan bersama lima lagi suspek, semalam.
Katanya, semua suspek ditahan di sekitar Negeri Sembilan semalam iaitu tiga lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun, manakala seorang lagi suspek lelaki sedang diburu.
"Dalam kejadian 10 April lalu, mangsa bersama ibunya, pergi ke sebuah salun dan remaja itu keluar salun untuk ke sebuah kedai serbaneka berhampiran.
"Ketika menuju ke kedai serbaneka, mangsa diculik seorang lelaki yang memaksanya masuk ke dalam sebuah kenderaan sebelum kenderaan itu memecut dari lokasi dan menghilangkan diri," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
