Dalam tempoh tidak sampai 30 hari, Dunia Islam telah dikejutkan dengan pemergian dua peribadi Muslim yang menjadi simbol kepada perjuangan pembebasan Palestin dan “pemurnian” pemikiran Islam. Dua medan amal yang berbeza tetapi telah melahirkan kesan dan impak yang sangat membekas di hati, jiwa dan minda umat Islam.
Salah seorang dari dua tokoh agung ini adalah Muhammad Ahmad Ar Rasyid.
Saya teringat kembali betapa seorang pemuda Gaza yang pernah singgah ke Malaysia (dan beliau baru sahaja keluar penjara Israel selepas 11 tahun) begitu beriya-iya sekali ingin berjumpa dengan tokoh ini, walau untuk sebentar sahaja.
Subhanallah!
Pengalaman, ilmu, ketajaman fikiran, kemampuan mencungkil rahsia hati dan pergerakan, penguasaan dan nuansa bahasa yang menyeluruh dan tepat … beliau memiliki semua ini.
Bagaikan penunjuk jalan di atas suatu perjalanan yang kelam suasana dan gelap gelita iklim dan cuaca, beliau membimbing, mendidik, menunjuk ajar, menegur, menasihati dan memperbetulkan salah dan silap faham.
Saya merasa sangat berbahagia dan beruntung kerana sempat bersama Abu Ammar, (gelaran beliau yang lebih masyhur) dalam beberapa kesempatan, sejak saya mula mengenali beliau lebih kurang tiga dekad yang lalu.
Ruangan ini tidak cukup sebenarnya untuk menukilkan perjalanan hidup seorang tokoh yang jujur kepada agamanya, yang sangat perihatin dan begitu mengambil berat akan urusan-urusan agama Islam, khususnya kepada generasi muda umat ini.
Allah mengurniakan begitu banyak kelebihan kepada beliau, khususnya dalam bidang pemikiran Islam, yang diolah dalam konteks kontemporari melalui gubahan bahasa dan kalimat-kalimat yang bernilai tinggi dari sudut bahasa Arab.
Sesungguhnya kita semua milik Allah dan kita semua pasti akan kembali kepadaNya.
Semoga Allah menempatkan beliau di kalangan para Syuhada, Salihin dan Amilin serta membahagiakan beliau dengan kedudukan Syurga yang Tertinggi.
Anda telah menyempurnakan tanggungjawab dalam ruang waktu yang telah ditetapkan dengan sebaik-baiknya.
Berbahagialah perjalanan anda menuju hakikat yang abadi dalam naungan Sang Pencipta… Mohd Luttfi