Kerajaan Sarawak akan menyalurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada setiap mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku di Miri, semalam.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bantuan ini merupakan usaha Kerajaan Sarawak membantu meringankan beban keluarga mangsa.
“Kami menzhirkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian di Miri, semalam.
“Bagi mangsa yang kehilangan nyawa, kita akan beri RM10,000 kepada ahli keluarga mangsa,” katanya dalam sidang media semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu Kawa di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dalam sidang media sama memberitahu, kementeriannya akan menguruskan sesi kaunseling kepada keluarga mangsa.
“Kita mengetahui bahawa merupakan musibah dan keadaan berat bagi keluarga mangsa, maka Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, kami akan menawarkan khidmat kaunseling kepada mereka,” ujar beliau.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Buckland Bangik, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Pegerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai.