Like this:

Lebuhraya Cassia Ditukar Nama Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi

Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang hari ini bersetuju menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai tanda penghormatan kepada bekas Perdana Menteri kelima Malaysia yang telah meninggal dunia.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata keputusan tersebut adalah simbolik bagi menghargai jasa dan bakti Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah membawa pelbagai inisiatif pembangunan kepada negeri ini semasa pentadbirannya dari tahun 2003 hingga 2009.

“Memegang gelaran sebagai bandar masa depan Pulau Pinang, Allahyarham Tun Abdullah telah menamakan Bandar Cassia pada 24 Ogos 2004 dan memperoleh kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui Pelan Induk Bandar Cassia pada 26 Okt 2004.

“Penggunaan nama Bandar Cassia sebagai Bandar Baharu di Batu Kawan kemudiannya telah diluluskan oleh MMK pada 10 Ogos 2016.

“Justeru, kerajaan negeri ingin terus mengekalkan legasi Allahyarham Tun Abdullah dengan menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga mengumumkan pengibaran bendera negeri separuh tiang pada Jumaat ini di semua premis kerajaan dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri sebagai tanda penghormatan terakhir kepada tokoh negara itu. Premis bukan kerajaan turut diseru untuk sama-sama menyertainya.

“Pemergian Tun Abdullah merupakan suatu kehilangan besar kepada negara terutamanya Pulau Pinang. Semoga semua jasa dan bakti yang telah dicurahkan beliau dalam membangunkan negara serta negeri ini akan sentiasa tersemat dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia dan juga Pulau Pinang,” katanya.

Antara sumbangan besar Allahyarham kepada Pulau Pinang ialah projek Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang, yang diumumkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada tahun 2003.

Menurut Chow, jambatan tersebut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi antara Batu Maung di bahagian pulau dan pembangunan pesat Bandar Cassia di Batu Kawan yang kini menjadi zon perindustrian baharu.

Menurut Chow, selain Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Bandar Cassia, Pulau Pinang turut menerima banyak manfaat di bawah pentadbiran Allahyarham Tun Abdullah antaranya pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang pertama dengan peruntukan RM1 bilion.

Selain itu, katanya manfaat lain di bawah pentadbiran Perdana Menteri kelima itu adalah pembangunan Penang Sentral dengan peruntukan RM2.7 bilion, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

Km penang

Leave a Reply

Like this:

Discover more from Dunia E-Hailing & P-Hailing

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading