SEORANG REMAJA MAUT MANAKALA IBUNYA PARAH DALAM KEMALANGAN
Seorang remaja perempuan maut manakala ibunya parah dalam kemalangan membabitkan sebuah keluarga di Jalan Persiaran Impian, Kluang, Johor petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan mendapati kereta dipandu bapa mangsa berumur 39 tahun, dipercayai hilang kawalan semasa cuaca hujan, sebelum melanggar sebatang pokok.
Akibat pelanggaran, mangsa 14 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang maut di tempat kejadian kerana mengalami cedera parah di kepala dan badan.
Ibunya yang berada di tempat duduk hadapan, cedera parah di badan dan kepala, manakala adik lelaki dan bapa mangsa hanya cedera ringan.
Mereka kini sedang dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Wartawan: Zuhairi Zainudin
Foto: Kluang Hari Ini