Misi Bantuan Banjir Kumpulan FELDA telah dilancarkan secara rasmi oleh YBhg. Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA tengah hari tadi.
Program ini akan menyaksikan gabungan usaha 9 anak syarikat dan 3 badan bukan kerajaan (NGO) FELDA yang telah menyediakan bantuan berjumlah melebihi RM1juta.
Bantuan yang merangkumi barangan pemberian, dapur masak, pakaian, makanan, kit siap siaga, dan keperluan asas lain akan disalurkan kepada mangsa banjir.
Peluncuran ini turut menampilkan penyampaian sumbangan mock cheque oleh setiap anak syarikat dan pelepasan kenderaan pacuan 4 roda skuad misi bantuan banjir Kumpulan FELDA.
Sehingga 3 Disember 2024, empat negeri yang memiliki rancangan FELDA telah terjejas dengan bencana ini, melibatkan Terengganu (6 rancangan), Wilayah Alor Setar (1 rancangan), Wilayah Raja Alias (8 rancangan), dan Wilayah Trolak (3 rancangan).
Seramai 1,813 ahli keluarga daripada 496 buah rumah di kawasan terlibat kini sedang berdepan cabaran pasca banjir.
Wilayah Raja Alias mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu di Rancangan Jelai 4 dengan 117 rumah keluarga yang terjejas, diikuti oleh Seberang Tayor, Terengganu (107 rumah). Sebanyak 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan untuk membantu mereka yang dipindahkan.
Keadaan lebih mencabar apabila beberapa kawasan FELDA seperti di Felda Aring (Wilayah Gua Musang) serta Felda Tersat dan Mengkawang (Wilayah Terengganu) terputus hubungan akibat banjir.
Situasi ini menjadikan misi bantuan FELDA lebih penting dalam memastikan bantuan sampai ke kawasan yang memerlukan. Misi kali ini bukan sahaja menumpukan kepada bantuan segera, tetapi juga persediaan menghadapi gelombang banjir seterusnya.
Semua wilayah dan negeri telah diarahkan bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan ini.
FELDA komited dalam memastikan kebajikan peneroka sentiasa diutamakan.
Inisiatif ini membuktikan kekuatan perpaduan komuniti FELDA dan semua rakan strategiknya dalam menghadapi cabaran bencana alam. Kami menyeru lebih banyak pihak untuk tampil menghulurkan bantuan dan sokongan demi kesejahteraan komuniti yang terjejas.
Bersama-sama, kita mampu mengubah kesukaran menjadi harapan.
JABATAN KOMUNIKASI STRATEGIK
4 Disember 2024