Sebanyak 25 notis kompaun dikeluarkan terhadap tiga premis makanan di sekitar bandaraya Pulau Pinang setelah didapati melanggar syarat lesen yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Kesalahan ini termasuklah pelanggaran Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan MPPP 1991 dan UUK Pengendali Makanan MPPP 1983 serta Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
Selain itu, operasi tersebut turut melibatkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Seksyen Penguatkuasaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia Pulau Pinang (SSM). Hasilnya, SSM mengeluarkan lapan notis kompaun kerana kesalahan seperti gagal mempamerkan sijil pendaftaran perniagaan, tidak mencatat nama dan nombor perakuan pada dokumen perniagaan, serta gagal mempamer papan tanda dengan maklumat perniagaan. Jumlah kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM12,400.
Dalam operasi yang sama, KPDN turut merampas 17 tong gas petroleum cecair (LPG) bersaiz 14 kilogram (kg) dari premis pertama, manakala premis kedua dirampas sebanyak 10 tong LPG bersaiz 12kg. Tindakan ini diambil untuk memastikan pematuhan undang-undang berkaitan perdagangan dan keselamatan premis.
MBPP menegaskan bahawa mereka akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan dari semasa ke semasa untuk memastikan perniagaan mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MBPP dalam menjaga keselamatan dan kebersihan perniagaan makanan di bandaraya Pulau Pinang.